RSS

Penjagaan gigi


  • Memflos gigi sebelum memberus
  • Berus gigi dua kali sehari
  • Gunakan berus gigi yang betul
  • Dapatkan pemeriksaan gigi dua kali setahun
  • Kunjungi doktor gigi anda sebelum mengandung
  • Berhenti merokok
  • Kurangkan minuman bergas, kopi dan alkohol
  • Tingkatkan pengambilan kalsium
  • Amalkan pengambilan vitamin C dan D
  • Tidur sekurang-kurangnya lapan jam setiap malam

Masalah berkaitan gigi

Plak dan kalkulus

Plak merupakan lapisan nipis dan melekit mengandungi bakteria yang sentiasa terbentuk di dalam mulut. Ia lembut dan mudah dihilangkan dengan memberus gigi atau flos. Selepas makan, sisa makanan akan ditukarkan menjadi plak melalui tindakan penguraian bakteria. Jika dibiarkan, plak ini akan menebal dan bakteria akan membiak. Jika ia tidak dibersihkan dalam masa 24 jam, plak ini akan mula mengeras disebabkan enapan garam kalsium dari air liur dan membentuk kalkulus, ataupun tartar. Struktur enapan yang keras dan melekat kuat ini hanya dapat disingkirkan melalui pembersihan gigi oleh doktor iaitu "pengikisan".

Penyakit periodontal

Penyebab utama bagi penyakit periodontal ialah pengumpulan plak bakteria. Apabila plak terbentuk di sepanjang permukaan gusi, ia akan menyebabkan gusi membengkak dan mudah berdarah. Ini dikenali sebagai gingivitis. Jika plak ini tidak disingkirkan, toksin akan menyebabkan gusi lekang dari gigi dan membentuk lekuk di antara gigi dan gusi. Jangkitan di bahagian ini akan memusnahkan gentian yang memegang gigi di tempatnya. Tulang penyokong gigi juga akan rosak. Keadaan ini dikenali sebagai periodontitis.

Karies gigi

Karies gigi merupakan penyakit disebabkan mikrob yang memusnahkan gigi. Ia menjejaskan tisu-tisu gigi yang keras (enamel). Sesetengah bakteria plak akan menghasilkan asid dari karbohidrat; asid ini akan melarutkan enamel gigi dan membentuk lesi karies yang akhirnya memusnahkan gigi jika tidak dirawat.

sumber : http://ms.wikipedia.org/wiki/Gigi

Bilakah perlu mencabut gigi susu?

Ramai ibu bapa yang datang ke klinik kerana mereka mahu mencabut gigi anak mereka yang bergoyang. Ada juga yang mahu mencabut gigi anak mereka kerana gigi kekal telah keluar di belakang gigi susu tersebut. Jadi persoalannya, adakah perlu cabut gigi anak apabila sudah goyang?


Sebelum saya jawab soalan itu, mari saya bagitau serba sedikit mengenai gigi susu. Gigi susu pertama biasanya akan tumbuh apabila umur kanak-kanak berusia sekitar 6 bulan dan biasanya apabila kanak-kanak berusia 2 1/2 hingga 3 tahun, semua gigi susunya telah tumbuh. Ada kanak-kanak yang giginya lambat tumbuh dan ada pula yang cepat tumbuh. Jadi jangan risau jika gigi anak anda tidak tumbuh pada waktunya. Biasanya gigi kacip akan tumbuh dahulu, di ikuti dengan gigi geraham pertama, kemudian gigi taring dan gigi geraham kedua. Gigi bawah akan tumbuh dulu diikuti dengan gigi atas mengikut turutan tetapi ada juga yang sebaliknya gigi atas tumbuh dulu. 

Apabila umur kanak-kanak sekitar 6 tahun, biasanya gigi kacip bahagian bawah akan mula bergoyang. Ini terjadi kerana akar gigi susu tersebut telah dihakis oleh gigi kekal yang mula bergerak ke permukaan gusi. Jika kita mencabut gigi tersebut terlalu awal, maka gigi kekal yang hendak tumbuh akan menjadi makin lambat tumbuh kerana akar gigi yang menjadi rujukan telah tiada. Tambahan pula, lagi lambat utk gigi tersebut bergerak menembusi gusi. Biasanya gigi yang bergoyang akan tanggal dengan sendirinya apabila tiba masanya. 

Bilakah gigi susu perlu dicabut oleh doktor gigi?
1. Bila gigi kekal telah tumbuh di bahagian belakang gigi susu ( gigi bawah) atau gigi kekal telah tumbuh di bahagian hadapan gigi susu ( gigi atas) dan gigi susu belum tanggal lagi.
2. Bila gigi susu telah rosak teruk dan selalu menyebabkan gusi bengkak dan bernanah serta sakit yang menyebabkan kanak-kanak sukar makan walaupun pernah di rawat beberapa kali oleh doktor gigi.
3. Bila gigi susu yang menyekat pertumbuhan gigi kekal atau menghalang gigi kekal dari tumbuh ke tempat sepatutnya
4. Bila dah tiba masanya utk gigi itu tanggal tetapi tak tanggal-tanggal.Kerana biasanya bila gigi tu dah goyang sangat tetapi gigi kekal tak kelihatan bermakna gigi kekal ada di bawah gigi susu.
5. Jika takut utk cabut sendiri


Mitos yang mengatakan jika tak cabut gigi susu jika sudah goyang akan menyebabkan gigi kekal tumbuh tak lawa adalah tidak benar sama sekali. Apakah sebab gigi menjadi tidak teratur?
1. Keturunan
-rahang muka yang kecil dan gigi yang besar menyebabkan gigi tidak mendapat tempat utk tumbuh jadi tumbuh secara tidak teratur. Jika ibu atau ayah atau kedua-duanya sekali mempunyai gigi yang tidak teratur maka besar kemungkinan anak juga mempunyai masalah yang sama.

2. Gigi yang dicabut terlalu awal
- Gigi yang rosak atau bergoyang yang dicabut terlalu awal akan menyebabkan gigi lain bergerak ke kawasan yang dicabut . Ini mengakibatkan gigi yang sepatutnya tumbuh di situ tiada tempat . Biasa gigi yang berlapis adalah gigi geraham kecil dan juga gigi taring.

3. Gigi susu yang tidak dicabut
- jika terdapat gigi susu yang tidak dicabut walaupun gigi kekal telah tumbuh mengakibatkan gigi menjadi berlapis-lapis dan tidak tersusun

Jadi kepada ibu bapa di luar sana, bawaklah anak untuk pemeriksaan gigi dari usia muda iaitu dalam usia 2 atau 3 tahun. Bila kanak-kanak itu sudah biasa dan tak takut dengan doktor gigi maka senang untuk mendapatkan rawatan tidak kiralah tampalan atau cabutan. Jangan sesekali paksa kanak-kanak untuk mendapatkan rawatan gigi. Pujuklah dengan cara yang baik supaya kanak-kanak itu mahu untuk membuat rawatan. Jika dipaksa ditakuti nanti kanak-kanak menjadi trauma dan tidak mahu lagi membuat rawatan gigi sampai dia dewasa. 

Jika kanak-kanak memang tidak mahu kasi kerjasama, ada cara lain selain paksa kanak-kanak itu. Boleh membuat rawatan di hospital di mana kanak-kanak itu akan diberi ubat bius yang menyebabkannya tidur dan tidak sedar sepanjang proses membuat rawatan gigi. 

Gigi yang bergoyang tidak semestinya dicabut terus. Gigi susu juga tidak semestinya dicabut oleh doktor gigi. Berjumpalah dengan doktor gigi anda dan dapatkan nasihat tentang apa yang perlu dibuat…:)
 
 special credit to : http://drleen.wordpress.com 

Mitos VS Fakta tentang gigi

Ada banyak mitos-mitos yang berkaitan dengan gigi yang pernah saya dengar..kadang kala ianya berlaku secara kebetulan dan orang akan menyangka ianya satu penyebab. Kadangkala pula ia diketahui dari orang-orang tua. Adakah semuanya mitos atau sememangnya benar? Kita ikuti satu persatu.

Mitos: Cabut gigi atas akan menyebabkan rabun
Fakta : Pencabutan gigi atas tak kira gigi hadapan atau belakang tidak akan menyebabkan rabun kepada mata. Kita boleh melihat apabila cahaya yang masuk ke dalam mata terus fokus pada lapisan retina. Kita menjadi rabun kerana cahaya itu masuk dan fokus di hadapan atau belakang lapisan retina. Kebanyakkan rabun adalah bersifat keturunan. Cabut gigi atas memang tidak akan menyebabkan rabun, jika ianya terjadi, ia hanyalah kebetulan sahaja.

Mitos: Pencucian ( scaling ) gigi yang kerap menyebabkan gigi nipis

Fakta: Alat yang digunakan utk mencuci gigi tidaklah bersifat tajam. Ianya bergetar untuk menanggalkan karang gigi yang keras seperti simen dan melekat pada gigi. Jadi pencucian yang kerap iaitu 6 bulan sekali tidak akan menipiskan gigi. Gigi boleh terhakis jika di berus dengan berus yang keras dan juga jika berus dengan kuat setiap hari. 

 
Mitos:Pencucian gigi yang kerap menyebabkan gigi makin goyang
Fakta: Gigi bergoyang disebabkan tulang yang memegang gigi telah berkurangan. Ini berpunca daripada karang gigi yang melekat pada gigi. Lama kelamaan karang gigi itu sangat tebal dan memegang keseluruhan gigi-gigi yang bergoyang menyebabkan gigi-gigi tersebut nampak seperti tidak bergoyang. Jadi bila karang gigi itu dibersihkan, maka gigi terasa seperti lebih bergoyang. Jika selalu cuci gigi, maka karang itu susah nak terjadi dan tulang akan sihat seterusnya gigi tak bergoyang 

 
Mitos : Jika tak cabut gigi susu sebelum gigi kekal tumbuh, gigi anak akan tak tersusun
Fakta: Gigi susu yang goyang menandakan gigi kekal sudah semakin hampir ke permukaan dan juga akar gigi susu tadi telah dihakis oleh gigi kekal. Ianya boleh tercabut sendiri ataupun dicabut oleh dr gigi apabila masa utk gigi tu tanggal telah tiba. Jika dicabut terlalu awal, ia boleh menyebabkan gigi kekal nanti tak tersusun kerana ruang yang sepatutnya utk gigi kekal itu tumbuh sudah semakin kecil disebabkan gigi lain bergerak ke ruangan itu. Gigi yang tak tersusun biasanya disebabkan oleh keturunan ( rahang kecil, gigi besar) dan juga kerana gigi dicabut terlalu awal. 

 
Mitos: Jika gigi susu rosak, elok dicabut sahaja kerana akan diganti oleh gigi kekal
Fakta:
Gigi susu sama sahaja fungsinya dengan gigi kekal iaitu untuk mengunyah makanan. Ianya sama penting dengan gigi kekal untuk memastikan tubuh badan mendapat nutrisi sepenuhnya untuk tumbesaran. Jika dicabut, beberapa masalah akan timbul. Pertama, susah nak makan kerana sudah tiada gigi. Kedua, gigi kekal akan lambat tumbuh kerana lagi lambat menembusi gusi berbanding jalan yang telah dibuat oleh akar gigi susu. Ketiga, akan menyebabkan gigi kekal tidak terusun.


Mitos: doktor gigi suka membuat lubang kecil pada gigi jadi besar
Fakta:
Lubang pada gigi kadangkala nampak kecil sahaja tetapi di dalamnya sudah kosong. Bila doktor gigi membersihkan semua bahagian yang rosak, maka nampaklah lubang itu semakin besar. 


Mitos: Gigi palsu lagi senang dipakai dan tahan lama
Fakta:
Gigi palsu tidak akan tahan selama-lamanya kerana lama kelamaan tulang dan gusi akan mengecil, jadi gigi palsu akan menjadi semakin longgar dan perlu di ganti dengan yang baru. 


Mitos: Tidak boleh buat rawatan pergigian jika mengandung
Fakta:
Rawatan pergigian seperti cuci, tampal boleh dibuat pada bila2 masa saja termasuklah semasa mengandung. Rawatan yang memerlukan pesakit duduk terlalu lama atau rawatan yang susah seperti cabutan secara pembedahan, rawatan saraf eloklah di elakkan semasa mengandung di 3 bulan pertama dan 3 bulan terakhir. 


 special credit to : http://drleen.wordpress.com

Pemberusan gigi kanak-kanak – bila dan bagaimana?

Mengajar anak memberus gigi adalah sangat penting. Tentu ramai yang mempunyai masalah yang anak mereka tidak suka memberus gigi atau tidak mahu diberus giginya oleh anda. Bagaimana anda mahu memupuk sikap suka memberus gigi dikalangan anak anda? Bagaimana cara memberus gigi anak anda?



Bayi
Kunci utama untuk memupuk tabiat suka memberus gigi adalah memulakannya dari AWAL. Paling bagus jika anda memulakannya beberapa hari selepas lahir. Selepas bayi anda menyusu, lapkan gusi, lidah dan langit-langit bayi anda dengan kain lembab. Ini bertujuan untuk :

1. Membersihkan gusi, lidah dan langit-langit bayi anda dari plak yang terbentuk
2. Membiasakan anak anda merasa ada jari atau sesuatu di dalam mulutnya supaya anak anda tidak akan berasa tidak selesa atau takut apabila anda mahu menggosokkan giginya kelak


Selepas 6 bulan
Gigi pertama bayi anda biasanya akan tumbuh apabila umur bayi anda sekitar 6 bulan. Biasanya gigi bawah di bahagian hadapan akan tumbuh. Ada yang tumbuh awal dan ada juga yang tumbuh lambat jadi jangan risau sekiranya hal ini terjadi. Selepas gigi pertama tumbuh, anda boleh membeli berus gigi bayi. Terdapat bermacam-macam berus gigi bayi di pasaran. Ada yang boleh disarungkan pada jari dan ada yang berbentuk seperti berus gigi biasa. Terpulang kepada anda untuk memilih yang mana sesuai untuk bayi anda. Pastikan berus gigi itu cukup kecil dan mempunyai berus yang lembut.
Saya lagi suka menggunakan berus gigi yang boleh disarungkan pada jari untuk permulaan kerana kita boleh mengagak berapa dalam kita memberus dan apa yang kita berus. Selepas bayi mempunyai lebih banyak gigi, dan anda telah biasa memberus gigi anak anda, anda boleh bertukar kepada berus gigi yang berbatang.

Ubat gigi
Tidak perlu menggunakan ubat gigi bila memberus gigi anak anda yang berusia di bawah 18 bulan. Anda boleh menggunakan ubat gigi berflorida selepas anak anda berusia 2 tahun ( apabila anak anda sudah tau berludah). Sekiranya anak anda mempunyai risiko tinggi untuk mendapat karies ( gigi berlubang), anda disarankan untuk menggunakan ubat gigi berflorida tetapi pastikan anda hanya meletakkan jumlah yang kecil sahaja ( sebesar kacang pis) di atas berus gigi . Ini adalah kerana, jika anak anda berusia kurang dari 6 tahun dan menelan ubat gigi berflorida dalam jumlah yang banyak, gigi kekal anak anda akan mendapat fluorosis ( tompok-tompok putih – kecoklatan). Ada juga ubat gigi tanpa florida untuk kanak-kanak dan sekiranya anak anda tidak mempunyai risiko tinggi untuk mendapat karies maka ubat gigi tanpa florida amat sesuai untuk digunakan.


Cara memberus gigi anak anda
Berus gigi anak anda 2 kali sehari, pagi dan juga malam sebelum tidur.
1. Posisi paling bagus untuk anda berdiri ialah di belakang atau tepi anak anda dan memegang rahang bawah anak anda dengan lembut.
2. Berus bahagian permukaan gigi belakang dahulu kerana bahagian ini digunakan untuk mengunyah makanan dan sangat senang mendapat karies. Kemudian, teruskan dengan bahagian permukaan tepi gigi dan juga bahagian sebelah dalam gigi belakang.
3. Selepas itu berus pula bahagian gigi hadapan, permukaan luar dan dalam gigi.
4. Gunakan teknik berusan secara bulatan kecil seakan gegaran supaya seluruh permukaan gigi dibersihkan dengan sempurna.
5. Luangkan masa dalam 3 minit untuk memberus gigi anak anda. Nyanyikan lagu semasa memberus supaya apabila habis lagu dalam masa 3 minit, maka pemberusan gigi pun habis.
5. Suruh anak anda berkumur dan ludahkan semuanya. Jangan risau sekiranya anak anda tertelan sedikit ubat gigi yang mempunyai kandungan florida rendah. Jika anak anda selalu menelan ubat gigi, gunakan ubat gigi tanpa florida.
6. Jangan lupa memuji anak anda kerana telah memberus gigi. 


Apa perlu buat jika anak tidak mau memberus gigi
Ada kanak-kanak yang tidak suka anda menggosok gigi mereka. Mereka mahu membuatnya sendiri. Kanak-kanak di bawah umur 6 tahun tidak akan menggosok gigi dengan betul kerana mereka masih tidak tahu menggunakan berus gigi dengan betul. Jadi, anda perlu memberus semula gigi anak anda selepas anak anda memberusnya. Anda juga boleh mencuba beberapa tip untuk menjadikan aktiviti memberus gigi disukai anak anda:

1. Pastikan aktiviti memberus gigi sesuatu yang seronok dan bukannya satu tugas yang perlu dibuat oleh anak anda setiap hari
2. Biarkan anak anda memberus gigi anda, kemudian memberus giginya sendiri dan kemudian anda pula menyudahkan pemberusan gigi.
3. Biar dia memilih berus gigi dan ubat gigi kesukaannya
4. Nyanyikan lagu atau buatkan aktiviti gosok gigi seperti satu permainan
5. Bacakan buku mengenai gigi, pemberusan gigi dan juga doktor gigi
6. Jangan gunakan paksaan semasa memberus gigi anak anda, sekiranya anak anda tidak mahu memberus nasihatkan anak anda secara perlahan-lahan sehingga dia mahu memberus gigi

Jika anda jadikan gosok gigi ini seperti sesuatu yang menyeronokkan tentu anak anda sukakannya. Anak anda juga akan suka memberus gigi jika mereka melihat anda memberus gigi. Mulakan dari awal, supaya senang mendidik anak menggosok gigi kelak. Ingatlah bahawa gigi anak anda amat penting walaupun gigi itu akan diganti dengan gigi kekal kerana tanpa gigi, anak anda akan menghadapi masalah untuk makan dan boleh mengganggu tumbesaran mereka.

Selamat mencuba!

special credit to : http://drleen.wordpress.com 

Bagaimana membersihkan gigi anda dengan betul

Anda tentu merasakan yang anda tahu bagaimana memberus gigi. Tetapi persoalannya, adakah cara anda memberus gigi itu betul?


Pemilihan berus gigi

1. Jenis :

Anda boleh memilih apa jua jenis berus gigi samada yang biasa atau bermotor/elektrik asalkan anda selesa untuk menggunakannya dan anda boleh memberus seluruh permukaan gigi sehingga gigi yang paling belakang sekali. Tetapi elok jika anda memilih berus gigi yang kepalanya kecil sekiranya anda mempunyai gigi geraham bungsu untuk menyenangkan anda memberusnya.

2. Berus gigi

Pastikan anda memilih berus gigi yang berusnya lembut (soft) dan bukannya sederhana(medium) ataupun keras (hard). Plak yang anda perlu bersihkan setiap hari adalah lembut sahaja jadi anda tidak memerlukan berus yang keras untuk menghilangkannya. Karang gigi TIDAK boleh dibersihkan dengan berus gigi.

Pemilihan ubat gigi 

Terdapat pelbagai jenis ubat gigi yang berada di pasaran sekarang yang mempunyai berbagai fungsi. Kebanyakkan ubat gigi mempunyai florida (fluoride) yang penting untuk mengurangkan risiko karis gigi. Sekiranya anda mempunyai gigi yang sensitif, adalah di nasihatkan supaya memilih ubat gigi untuk gigi sensitif kerana ia boleh membantu mengurangkan sensitiviti pada gigi anda seperti Sensodyne ataupun Colgate Sensitive. Sekiranya anda tidak mempunyai masalah, anda boleh menggunakan apa jua ubat gigi mengikut citarasa anda. Apa pun yang anda pilih, pastikan anda hanya meletakkan sedikit sahaja ubat gigi ke atas berus gigi anda bukan seperti yang anda nampak di iklan ubat gigi. Kerana anda tidak memerlukan ubat gigi yang banyak untuk memastikan gigi anda bersih. Penggunaan ubat gigi berlebihan hanya membazir dan tidak menyebabkan gigi anda bertambah putih dan bersih!

Cara memberus gigi dengan betul 

Untuk membersihkan seluruh permukaan gigi anda dengan betul, anda perlulah melihat cermin semasa memberus gigi dan juga mengambil masa untuk memberus gigi anda (anda bolehlah mengira sebanyak 5 kiraan di dalam hati pada setiap bahagian permukaan gigi yang diberus). Jangan memberus dengan kuat kerana ini akan menyebabkan gigi anda boleh terhakis terutamanya pada leher gigi dan menyebabkan gigi anda menjadi sensitif. Cara memberus adalah seperti dibawah :

Berus permukaan mengunyah gigi atas dan bawah secara menggerakkan berus kehadapan dan kebelakang.

Pada kedudukan berus 45 darjah dari gusi, beruskan permukaan luar gigi atas secara bulatan kecil mulai dari gigi belakang ke gigi hadapan dan berakhir dengan gigi belakang pada sebelah yang bertentangan. Diulangi dengan permukaan gigi bawah.
Ulangi langkah yang sama untuk permukaan dalam gigi untuk gigi belakang
Untuk permukaan dalam gigi hadapan atas dan bawah, gunakan hujung berus gigi sahaja untuk memberus bahagian tersebut.

Akhir sekali, jangan lupa untuk memberus lidah anda dengan cara memberus kehadapan dan kebelakang dengan lembut. Ada juga berus gigi yang mempunyai bahagian untuk memberus lidah.

PERINGATAN : Jangan sesekali memberus gigi anda dengan kuat dan juga memberus permukaan gigi dengan menggerakkan berus kehadapan dan belakang. Ia boleh membawa kemudaratan kepada gigi dan gusi anda kerana ia boleh menyebabkan gusi anda tercedera dan menurun (recession) hingga mendedahkan akar gigi anda dan juga menyebabkn leher gigi anda terhakis (abrasion)

Semoga anda akan memberus gigi dengan betul selepas ini. Gigi yang dibersihkan dengan betul akan membuang plak yang ada pada permukaan gigi anda dan ini boleh menghalang atau mengurangkan pembentukan karang gigi. Pemberusan yang betul juga akan mengurangkan risiko untuk mendapat karies gigi (gigi berlubang) dan juga penyakit keradangan gusi (gingivitis) yang menyebabkan gusi anda sering berdarah dan juga menurun.

Selamat Mencuba!

special credit to : http://drleen.wordpress.com

Bagaimana memilih ubat gigi?

Terdapat banyak jenis ubat gigi di pasaran sekarang. Yang mana satukah sesuai untuk anda? Adakah anda membeli ubat gigi jika ubat gigi harganya murah? Atau jika mendapat barangan percuma? Pernahkah anda melihat kandungan ubat gigi yang anda beli? Pernahkah anda tertanya-tanya adakah ubat gigi ini berkesan? Adakah anda percaya segalanya yang anda lihat di dalam iklan di tv?


Ubat gigi yang mempunyai fluoride
Sebenarnya, apa-apa jua ubat gigi yang mempunyai fluoride boleh digunakan oleh anda. Fluoride ini dapat mencegah gigi anda daripada rosak kerana ia menghalang asid yang dirembeskan oleh bakteria di dalam plak dan juga asid dari makanan atau minuman mereputkan gigi anda. Sekiranya anda lihat di kotak ubat gigi itu mempunyai sodium monoflurophosphate, stannous fluoride atau sodium fluoride maka ubat gigi itu ada fluoride. Ubat gigi yang mempunyai fluoride tidak boleh digunakan dengan kuantiti yang banyak untuk kanak-kanak di bawah 6 tahun kerana boleh menyebabkan fluorosis. Ini menyebabkan gigi kekal kanak-kanak ini nanti akan mengalami tompok-tompok putih atau kuning atau coklat. Jadi bagi kanak-kanak, hanya letakkan ubat gigi sebesar kacang pis dan elakkan dari ditelan.

Untuk mereka yang mempunyai gigi sensitif
Mereka digalakkan menggunakan ubat gigi khas untuk gigi sensitif seperti Sensodyne, Colgate Sentitive dan lain-lain. Ubat gigi-ubat gigi ini mempunyai bahan aktif di dalamnya seperti Strontium chloride, potassium nitrate dan sebagainya yang bertujuan untuk menghalang gigi dari sensitif dengan:
-membuat satu lapisan yang boleh menutup lubang-lubang halus pada gigi
- mengendalakan isyarat sakit dalam gigi anda
Dengan menggunakan ubat gigi tersebut, dan juga menjaga dari memberus gigi dengan kuat dan menggunakan berus gigi lembut maka gigi sensitif dapat dikurangkan atau di hilangkan.

Bagaimana pula dengan ubat gigi pemutih? (Whitening toothpaste)
Ubat gigi pemutih tidak akan membuat gigi anda bertambah putih. Ia bertujuan untuk mengurangkan atau menghilangkan kekotoran berwarna (stain) pada gigi yang berpunca dari rokok, atau minuman berwarna seperti kopi, teh atau milo. Gigi anda memang berwarna sedikit kekuningan disebabkan warna lapisan dalam gigi (dentin) adalah kuning. Jadi jika anda beranggapan bahawa dengan menggunakan ubat gigi pemutih akan menjadikan lapisan dalam gigi turut putih maka anggapan anda salah.Sekiranya anda tidak memberus dengan betul dan juga mengambil rokok atau minuman berwarna dalam kuantiti yang banyak dan kerap, kekotoran itu tidak akan hilang dengan menggunakan ubat gigi pemutih. Kekotoran ini hanya boleh dihilangkan dengan membuat pencucian gigi di klinik gigi dan juga dengan rawatan pemutih gigi (bleaching/tooth whitening) di klinik gigi. Anda perlu berhati-hati dengan penggunaan ubat gigi pemutih kerana kebanyakkannya mempunyai bahan lelas (abrasive) yang tinggi dan ia boleh menyebabkan lapisan enamel gigi anda terhakis dan menyebabkan gigi anda bertambah kekuningan( disebabkan lapisan dentin terdedah) dan juga sensitif.

Ubat gigi yang mempunyai antibakteria
Ada juga ubat gigi yang mempunyai antibakteria di dalam kandungan aktifnya seperti ubat gigi Colgate Total 12. Ubat gigi ini mempunyai triclosan dan juga copolymer (bahan yang membuat triclosan itu melekat pada permukaan gigi untuk beberapa jam). Triclosan ini menyebabkan menghalang pembentukan plak dari permukaan gigi jadi ia boleh menolong mencegah karies dari terjadi.
Apa-apa pun ubat gigi yang anda pilih, anda perlu pastikan yang cara pemberusan gigi anda betul. Anda juga perlu memilih ubat gigi berdasarkan masalah gigi yang anda hadapi. Sekiranya anda tidak pasti, sila berjumpa dengan doktor gigi untuk mendapatkan nasihat. Anda boleh membaca dengan terperinci lagi di sini dan sini bagi mengetahui kandungan ubat gigi anda.

Selamat memilih..

Cara–cara menggosok gigi dengan betul


INTRO





LANGKAH PERTAMA :
MENGGOSOK GIGI DI BAHAGIAN HADAPAN





LANGKAH KEDUA :
MENGGOSOK GIGI DI BAHAGIAN TEPI GIGI





LANGKAH KETIGA :
MENGGOSOK GIGI DI BAHAGIAN GIGI DALAM





LANGKAH KEEMPAT:
MENGGOSOK GIGI DI BAHAGIAN GIGI GERAHAM





SENYUM








Related Posts with Thumbnails
Copyright 2009 Gigi Bersih, Senyuman Menawan... All rights reserved.
Free WPThemes presented by Leather luggage, Las Vegas Travel coded by EZwpthemes.
Bloggerized by Miss Dothy | Distributed by Blogger Template Place