RSS

Bagaimana membersihkan gigi anda dengan betul


Anda tentu merasakan yang anda tahu bagaimana memberus gigi. Tetapi persoalannya, adakah cara anda memberus gigi itu betul?


Pemilihan berus gigi

1. Jenis :

Anda boleh memilih apa jua jenis berus gigi samada yang biasa atau bermotor/elektrik asalkan anda selesa untuk menggunakannya dan anda boleh memberus seluruh permukaan gigi sehingga gigi yang paling belakang sekali. Tetapi elok jika anda memilih berus gigi yang kepalanya kecil sekiranya anda mempunyai gigi geraham bungsu untuk menyenangkan anda memberusnya.

2. Berus gigi

Pastikan anda memilih berus gigi yang berusnya lembut (soft) dan bukannya sederhana(medium) ataupun keras (hard). Plak yang anda perlu bersihkan setiap hari adalah lembut sahaja jadi anda tidak memerlukan berus yang keras untuk menghilangkannya. Karang gigi TIDAK boleh dibersihkan dengan berus gigi.

Pemilihan ubat gigi 

Terdapat pelbagai jenis ubat gigi yang berada di pasaran sekarang yang mempunyai berbagai fungsi. Kebanyakkan ubat gigi mempunyai florida (fluoride) yang penting untuk mengurangkan risiko karis gigi. Sekiranya anda mempunyai gigi yang sensitif, adalah di nasihatkan supaya memilih ubat gigi untuk gigi sensitif kerana ia boleh membantu mengurangkan sensitiviti pada gigi anda seperti Sensodyne ataupun Colgate Sensitive. Sekiranya anda tidak mempunyai masalah, anda boleh menggunakan apa jua ubat gigi mengikut citarasa anda. Apa pun yang anda pilih, pastikan anda hanya meletakkan sedikit sahaja ubat gigi ke atas berus gigi anda bukan seperti yang anda nampak di iklan ubat gigi. Kerana anda tidak memerlukan ubat gigi yang banyak untuk memastikan gigi anda bersih. Penggunaan ubat gigi berlebihan hanya membazir dan tidak menyebabkan gigi anda bertambah putih dan bersih!

Cara memberus gigi dengan betul 

Untuk membersihkan seluruh permukaan gigi anda dengan betul, anda perlulah melihat cermin semasa memberus gigi dan juga mengambil masa untuk memberus gigi anda (anda bolehlah mengira sebanyak 5 kiraan di dalam hati pada setiap bahagian permukaan gigi yang diberus). Jangan memberus dengan kuat kerana ini akan menyebabkan gigi anda boleh terhakis terutamanya pada leher gigi dan menyebabkan gigi anda menjadi sensitif. Cara memberus adalah seperti dibawah :

Berus permukaan mengunyah gigi atas dan bawah secara menggerakkan berus kehadapan dan kebelakang.

Pada kedudukan berus 45 darjah dari gusi, beruskan permukaan luar gigi atas secara bulatan kecil mulai dari gigi belakang ke gigi hadapan dan berakhir dengan gigi belakang pada sebelah yang bertentangan. Diulangi dengan permukaan gigi bawah.
Ulangi langkah yang sama untuk permukaan dalam gigi untuk gigi belakang
Untuk permukaan dalam gigi hadapan atas dan bawah, gunakan hujung berus gigi sahaja untuk memberus bahagian tersebut.

Akhir sekali, jangan lupa untuk memberus lidah anda dengan cara memberus kehadapan dan kebelakang dengan lembut. Ada juga berus gigi yang mempunyai bahagian untuk memberus lidah.

PERINGATAN : Jangan sesekali memberus gigi anda dengan kuat dan juga memberus permukaan gigi dengan menggerakkan berus kehadapan dan belakang. Ia boleh membawa kemudaratan kepada gigi dan gusi anda kerana ia boleh menyebabkan gusi anda tercedera dan menurun (recession) hingga mendedahkan akar gigi anda dan juga menyebabkn leher gigi anda terhakis (abrasion)

Semoga anda akan memberus gigi dengan betul selepas ini. Gigi yang dibersihkan dengan betul akan membuang plak yang ada pada permukaan gigi anda dan ini boleh menghalang atau mengurangkan pembentukan karang gigi. Pemberusan yang betul juga akan mengurangkan risiko untuk mendapat karies gigi (gigi berlubang) dan juga penyakit keradangan gusi (gingivitis) yang menyebabkan gusi anda sering berdarah dan juga menurun.

Selamat Mencuba!

special credit to : http://drleen.wordpress.com

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
Copyright 2009 Gigi Bersih, Senyuman Menawan... All rights reserved.
Free WPThemes presented by Leather luggage, Las Vegas Travel coded by EZwpthemes.
Bloggerized by Miss Dothy | Distributed by Blogger Template Place